Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada hari kedua perkhemahan pula, merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh semua orang. Setiap kumpulan telah dilepaskan bersama fasilitator sebagai pengiring murid masuk ke dalam hutan bagi meneruskan aktiviti kembara perkhemahan. Laluan kembara telah ditentukan pada hari Isnin lalu dan laluanya boleh dikatakan agak mencabar tetapi selamat.
Setiap kumpulan dilepaskan setiap selang masa 5 hingga 8 minit bagi mengelakkan kesesakan berlaku pada sesebuah stesen. Bagi stesen pertama yang dikawal oleh En. Putera, murid diarahkan untuk menghidupkan api dengan menggunakan kayu dan bahan bakar yang terdapat disekitar stesen sahaja.
Setelah berjaya menghidupkan api, kumpulan boleh bergerak menuju ke stesen yang kedua di mana daya kemampuan berfikir mereka teruji. Dengan menggunakan 20 buah batu yang dipilih dalam sungai, murid diminta untuk membina sebuah menara. Jika murid tidak berfikir secara kreatif, pasti mereka akan menyusun batu tersebut satu persatu ke atas. Bagi yang kreatif, mereka akan bina dahulu tapak menara dengan beberapa biji batu terlebih dahulu barulah dibina puncaknya.
Setelah itu, mereka akan bergerak menuju ke stesen terakhir di mana mereka perlu menjawab satu soalan penyelesaian masalah. Murid berbincang dalam kumpulan untuk memilih cara rawatan yang sesuai bagi kad situasi yang diberikan. Mereka akan cuba merawat rakan mereka yang terdampar kesakitan di tepi sungai yang mana empat orang murid ini telah dipilih terlebih dahulu dan disolek agar kelihatan seperti cedera parah. Setelah itu, murid pulang ke tapak kem semula dan menikmati hidangan tengah hari.
Pada waktu petang pula, murid bertanding dalam acara kawad kaki dan juga tarik tali. Selepas itu pula, setiap kumpulan bertungkus lumus menghias raja dan ratu dengan pakaian rimba masing-masing. Masakan rimba turut dipertandingkan.
Sebelah malam pula, persembahan kebudayaan murid dan juga malam unggun api telah ditunda pada satu tarikh yang telah ditetapkan nanti kerana faktor cuaca hujan lebat yang tidak mengizinkan.
Gambar lain turut disertakan untuk tatapan semua:
0 comments:
Post a Comment